Kursus Komander Rendah di Kem Bina Alam, G7, Setiawan
Jumaat, 4 Julai 1998
Aku mendaftarkan diri pada pukul 5.55 petang . Kemudian aku meletakkan beg di kelas 2 Ibnu Jauzi. Aku terus ke padang untuk bermain bola sepak bersama rakan-rakan yang lain. Setelah 30 minit bermain, seorang komander tinggi menyuruh kami menggulung khemah yang tidak diperlukan. Apabila matahari sudah terbenam, kami pun solat maghrib. Setelah bersunat rawatib, kami menjamah makan malam. Kemudian kami solat isyak. Duduk di sekolah selepas Isyak memang membosankan. Kami cuma menunggu bas yang akan datang pada pukul 2 nanti. Oleh itu, aku mengajak Rahman dan Naim pergi ke 7-Eleven untuk membeli barang. Kami terserempak dengan komander tinggi yang sedang menonton siaran langsung bola sepak di restoran makanan laut. Ketua komander menegurku, siapa yang benarkan keluar? Aku mula menggelabah dan terus beredar sambil mengatakan bahawa kami akan pulang. Tapi kami terus singgah di 7-Eleven untuk memuaskan hati. Peluang kami untuk menjadi komander rendah amat tipis.
Sabtu, 5 Julai 1998
2.00 pagi, bas yang ditunggu belum lagi tiba. Aku, Rahman dan Naim bersembang di atas asfat yang kering. Kerana terlalu letih , kami pun baring. Bas tiba pada pukul 2.45 pagi. Aku terus mencari tempat duduk yang sesuai dan melabuhkan punggung di situ. 6.15 pagi, kami sampai di sebuah masjid di Setiawan. Sehabisnya solat, kami terus ke G7. Setibanya di G7 , kami disuruh memasak, mencari kayu api dan memasak. Kami memasak roti dan sardin telur untuk sarapan pagi. Pada pukul 9.00, setiap komander rendah berbaris bertiga-tiga untuk berkawad. Kami berkawad dengan riang gembira . Bunyi hentakan yang padu membangkitkan semangat kami. Kami berkawad sehingga pukul 12 tengah hari . Sekali sekala, aku dihukum menolak bumi kerana melakukan kesalahan.
10.30 pagi, komander membenarkan kami berehat untuk setengah jam. Kumpulan aku mengambil kesempatan untuk masak nasi pada waktu itu kerana malas untuk masak selepas berkawad. Kemudian kami meneruskan kawad sehingga pukul 12. Sedih benar apabila melihat nasi tidak masak kerana api terpadam. Itulah makanan kami untuk tengah hari.
Selepas Zohor, kami mendengar taklimat tentang penggunaan kompas. Banyak panduan telah diberikan kepada kami untuk compass marching pada keesokan hari. Setelah itu, kumpulan aku dibawa ke Kampung Batu Undan dengan bot. Setelah komander tinggi sampai di Kg. Batu Undan, kami pun berkayak dari situ ke G7. Kemudian kami disuruh pula membuat rakit. Kami cuba memecahkan rekod 12 minit untuk menyiapkan rakit. Kerana kerakusan kami, rakit siap dipasang selepas 10 minit. Namun, tiba-tiba satu pelampung terlerai dari ikatan. Rakit menjadi tidak seimbang dan kami pun pulang semula ke tebing sungai. Jurulatih pun mengajar kami cara membuat rakit dengan betul. Kami belayar ke tengah dengan bangga dan gembira. Tiba-tiba rakit menjadi kurang seimbang dan mula terumbang-ambing. Aku cepat-cepat memanjat jeti manakala rakan-rakan yang lain melompat ke air. Rakit pun terlerai dan pelampung-pelampung hanyut. Jurlatih menyelamatkan pelampung-pelampung dengan bot manakala kami menyelamatkan kayu daripada tenggelam. Setelah 1 jam , kami pun berjaya.
Selepas Maghrib, kami diberi masa untuk latihan persembahan. Kumpulan aku mendendangkan nasyid Tak Seindah Sentuhan Mata dan Ranjau. Persembahan diceriakan dengan pelbagai kelucuan yang tidak sepatutnya. Kami sungguh ceria pada waktu itu.
12.00 malam. Aku menjalankan hirasah seperti yang ditugaskan. Beberapa ekor anjing berkeliiaran di kawasan kami dan aku terpaksa membaling batu untuk menghalaunya. Semasal bertugas, aku bersembang dengan rakan-rakan sambil memakan biskut dicicah air teh boh. Tepat pukul 1, aku mengejutkan rakan saya untuk menggantikan saya hirasah. Aku pun tidur.
Ahad, 6 Julai 1998
6.15 pagi. Aku terlewat sedikit untuk bangun solat subuh. Nasib baik imam belum habis solat. Sehabisnya solat, kami pun memasak sarapan. Naim seperti biasa membuat teh yang manis dan kami terpaksa mencampurkan air paip untuk kesedapan yang abadi. Tepat pukul 9, kami sekali lagi ke Kg. Batu Undan tapi kali ini untuk kompas marching. Komander rendah lelaki dipecahkan kepada dua kumpulan. Kumpulan aku dipandu oleh Saudara Fikri Bostami. Kami tersesat beberapa kali kerana terlalu rakus untuk memecahkan rekod 40 minit sampai di Batu Keramat. Akhirnya, kami tiba di situ dalam tempoh 1 jam 12 minit.
12.00 tengah hari. Kumpulan aku memasak makanan tengah hari. Kami dimaklumkan bahawa masakan akan diadili pada pukul 2 . Kami makan tengah hari dan membiarkan bakinya untuk diadili. Selepas solat Zohor, masakan pun dihakimi. Khemah pun sama . Selepas 30 minit, tiba-tiba tuan komander memanggil untuk masuk baris. Beliau memberitahu bahawa platun komander rendah fatayat yang diiringi Tuan Mudir tersest di dalam hutan dan masih belum dijumpai. Kami disuruh bersolat hajat untuk memohon daripada Allah s.w.t agar mereka dijumpai dalam keadaan selamat.
4.30 petang. Kami membuka khemah dan mengemaskan dapur. Pakaian-pakaian dimasukkan ke dalam beg. Platun yang sesat masih belum dijumpai . Kami terpaksa menjalankan majlis penutup tanpa mereka. Tapi kami tidak akan pulang selagi mereka belum sampai. Sedang majlis diadakan, platun itu pun sampai dengan membawa rekod baru platun sesat paling lama iaitu 5 jam. Mereka pulang dengan wajah yang begitu ceria sekali. Selepas majlis, kami mengadakan sesi penggambaran. Selepas membersihkan tapak perkhemahan, kami pun bertolak pulang pada pukul 5.30 petang.
7.30 malam. Kami singgah di Restoran RR di tepi jalan untuk makan dan solat. Makan di situ cukup nikmat kecuali dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang, kelkatu.
12.00 tengah malam. Bas tiba di sekolah . Beberapa orang ibu bapa telah menunggu di perkarangan sekolah untuk mengambil anak-anak mereka yang dirindui. Aku tengok kereta bapa saya tiada. Aku pun membuat keputusan untuk bermalam di sekolah dan pulang dengan bas sekolah yang membawa adik-adik sekolah rendah.